KELAB Liga Perdana Inggeris, Chelsea  muncul juara Liga Juara-Juara Eropah 2011/12 selepas menewaskan kelab  Jerman, Bayern Munich 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti di Allianz  Arena, awal pagi tadi.
Jaringan Thomas Muller menerusi tandukan  pada minit ke-82 tampak meletakkan Bayern di kedudukan terbaik untuk  bergelar juara buat kali kelima pada aksi final di laman sendiri itu.
Namun Didier Drogba mengheret perlawanan  ke masa tambahan apabila berjaya menyamakan kedudukan buat Chelsea, dua  minit sebelum aksi 90 minit berakhir untuk kedua-dua pasukan terikat  1-1.
Pada masa tambahan, Bayern sekali lagi  berpeluang berada di hadapan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada  minit ke-95, namun sepakan diambil Arjen Robben berjaya pula  diselamatkan penjaga gol Chelsea, Petr Cech.
Kedudukan 1-1 terus kekal sehingga tamat 120 minit permainan bagi mengheret ke penentuan sepakan penalti.
Tiga sepakan awal Bayern yang  disempurnakan Philipp Lahm, Mario Gomez dan Manuel Neuer gagal  diteruskan Ivica Olic dan Bastian Schweinsteiger apabila sepakan mereka  berjaya dinafikan Cech.
Sebaliknya Chelsea yang gagal pada  sepakan pertama menerusi Juan Mata, berjaya menyempurnakan baki empat  sepakan selepas itu yang diambil David Luiz, Frank Lampard, Ashley Cole  dan Drogba.
Ini merupakan kali pertama Chelsea  berjaya menjuarai Liga Juara-Juara Eropah selepas mereka gagal pada 2008  apabila tewas kepada Manchester United di pentas final.
Sumber : 
mynewhub.my